Monday 14 September 2009

Aku Bukan Yang Terbaik (Dedikasi untuk diri Koi)

Al-Imam Hasan Al-Bashri rahimahullah berkata :

Wahai manusia, sesungguhnya aku tengah menasihati kalian, dan bukan bererti aku orang yang terbaik di antara kalian, bukan pula orang yang paling soleh di antara kalian. Sungguh, akupun telah banyak melampaui batas terhadap diriku. Aku tidak sanggup mengekangnya dengan sempurna, tidak pula membawanya sesuai dengan kewajipan dalam mentaati Rabb-nya. Andaikata seorang muslim tidak memberi nasihat kepada saudaranya kecuali setelah dirinya menjadi orang yang sempurna, nescaya tidak akan ada para pemberi nasihat.

Akan menjadi sedikit jumlah orang yang mahu memberi peringatan dan tidak akan ada orang-orang yang berdakwah di jalan Allah ‘Azza wa Jalla, tidak ada yang mengajak untuk taat kepada-Nya, tidak pula melarang dari memaksiati-Nya. Namun dengan berkumpulnya ulama dan kaum mukminin, sebahagian memperingatkan kepada sebahagian yang lain, nescaya hati-hati orang-orang yang bertakwa akan hidup dan mendapat peringatan daripada kelalaian serta aman daripada lupa dan kekhilafan. Maka terus meneruslah berada pada majlis-majlis dzikir (majlis ilmu), semoga Allah ‘Azza wa Jalla mengampuni kalian. Boleh jadi ada satu kata yang terdengar dan kata itu merendahkan diri kita namun sangat bermanfaat bagi kita. Bertaqwalah kalian semua kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kalian mati kecuali dalam keadaan muslim.”

Pada suatu hari beliau rahimahullah pergi menemui murid-muridnya sedang mereka tengah berkumpul, maka beliau rahimahullah berkata:

“Demi Allah ‘Azza wa Jalla, sungguh! Andai saja salah seorang dari kalian mendapati salah seorang daripada generasi pertama umat ini sebagaimana yang telah aku dapati, serta melihat salah seorang daripada Salafus Shalih sebagaimana yang telah aku lihat, nescaya di pagi hari dia dalam keadaan bersedih hati dan pada petang harinya dalam keadaan berduka. Dia pasti mengetahui bahawa orang yang bersungguh-sungguh daripada kalangan kalian hanya serupa dengan orang yang bermain-main di antara mereka. Dan seseorang yang rajin dari kalangan kalian hanya serupa dengan orang yang suka meninggalkan di antara mereka. Seandainya aku redha terhadap diriku sendiri pastilah aku akan memperingatkan kalian dengannya, akan tetapi Allah ‘Azza wa Jalla Maha Tahu bahawa aku tidak senang terhadapnya, oleh kerana itu aku membencinya."
[Maw'izhah li al-Imam al-Hassan al-Bashri, halaman 185-187]

http://permata-akhwat.blogspot.com/